Ramadan menjelang, dan di kala penulis sedang malas membanyakkan ibadah-ibadah sunat seperti berzikir dan membaca alquran, dan menjalani puasa tipikal iaitu tidur dan main game, penulis terfikir untuk menegur sikap tipikal Ramadan penulis dengan menghidupkan sebuah watak imaginasi. Akhirnya, lahirlah idea untuk mewujudkan sketsa menegur diri penulis (dan sikap masyarakat terhadap bulan mulia ni). Okey, mari bercerita:
Jumaat lepas, sebelum masuknya bulan Ramadan, Pak Din pergi bersolat Jumaat di masjid kampungnya. Dalam khutbah Jumaat yang berkisar tentang bulan Ramadan, khatib menyebut bulan Ramadan merupakan bulan yang sesuai untuk para perokok berhenti merokok. Pak Din mendengar sambil buat-buat tak ambil port. Selaku perokok tegar, yang dia tahu bulan puasa merupakan waktu untuk slow down merokok, bukannya berhenti. Masuk Syawal nanti sambung la merokok full force balik.
********************
Pagi satu Ramadan, awal-awal pagi lagi Mak Ton dah kejut sahur. Ah engkau ni eton, bab makan cepat je. Kan elok lambatkan sahur? bebel Pak Din dalam kemamaian lantas berkalih membelakangkan isterinya. 15 minit lagi Mak Ton datang kejut. Bang! Dah nak masuk waktu Subuh dah ni! "Apa? Awak ni kenapa lambat sangat kejut?" Tanya Pak Din sambil berlalu ke dapur. "Ha, sampai empat lima lauk awak masak. Siapa nak makan semua tu?"marah Pak Din tak tentu pasal.
********************
Sesudah sahur yang ala kadar tanpa sempat gosok gigi, Pak Din kembali ke katil. Azan Subuh berkumandang dan Pak Din bersandar pada bantal yang ditinggikan sedikit. "Bang, sembahyang Subuh dulu", ujar Mak Ton sambil berlalu ke bilik air. Pak Din yang separuh terlelap cuma mengiakan sahaja. Azan yang sedang berkumandang kedengaran sayup-sayup dan akhirnya hilang berganti lena.
********************
Jam sebelas pagi. Mak Ton baru sahaja siap mendobi kain baju. Pak Din masih terbongkang atas katil. Sedari lepas sahur tadi tidurnya tak terganggu. Mak Ton geleng-geleng kepala. Umur dah senja pun perangai tak ubah-ubah lagi, bisiknya sendiri. Lantas dikejutnya Pak Din.
********************
Setelah puas dikejutkan, bangunlah Pak Din. Dia menuju ke ruang tamu, landing atas sofa dan mencapai remote control. Hari pertma Ramadan cuti umum. Maka TVlah tempat membuang bosan. TV ditonton sehingga azan Zuhur berkumandang. Lepas Zuhur, Mak Ton mengangkat kain di jemuran dan mula melipat baju. Kemudian dia tertidur keletihan di sebelah timbunan lipatan kain. 'Huh, tidur je kerja dia', getus hati Pak Din.
********************
Asar menjelang. Pak Din tergesa-gesa mencari tuppaware. Kemudian ke masjid. "Awal Pak Din ke surau hari ni?", tegur Badrul yang terserempak dengan Pak Din di pintu pagar masjid. Dia satu-satunya anak muda di kampung itu yang rajin ke masjid sebelum azan berkumandang. "Pak Din nak ambil bubur lambuk", balas Pak Din. "Oh, dah nak masuk waktu dah ni, Pak Din. Kita solat Asar dululah, baru ambil bubur". Pak Din sengih-sengih. "Awak pergilah sembahyang dulu, saya sembahyang di rumah je", kata Pak Din sambil cepat-cepat berlalu ke dapur masjid.
********************
Badrul memikir-mikirkan peristiwa yang dilalui sebentar tadi. Kenal benar dia dengan Pak Din. Pantang diajak solat fardu, ada je alasan yang Pak Din bagi. Dan semalam, Pak Din menegurnya agar tidak lupa tunaikan solat tarawih. "Huh, yang fardu malas buat, yang sunat tu la dia sibuk-sibuk nak ingatkan orang suruh buat", hatinya membisik. "Astaghfirullah, kurang nanti pahala puasa aku, dok memikirkan buruk orang lain je" bisik Badrul sambil merenung jam elektronik yang memaparkan waktu-waktu solat beserta tarikh. Hari ini 11 Ogos bersamaan 1 Ramadan. Dia geleng-geleng kepala. Macam-macam ragam orang bila masuk bulan puasa.
********************
Baru tadi sebelum Asar dia ke Pasarya Jaya Jusko, pasaraya yang terpopular di Malaysia. Satu pasaraya berkumandang lagu-lagu raya. Baru hari pertama puasa dah pasang lagu raya. Isyak pula nanti mesti penuh masjid sebab semua orang nak bertarawih. Masuk pertengahan Ramadan, dia menjangkakan tinggal separuh sahaja jemaah yang bertarawih. Di akhir Ramadan nanti mungkin adalah sedikit penambahan ahli jemaah..maklum sahajalah..mencari malam Lailatul Qadar. Tahun-tahun lepas, masjid menjemput seorang hafiz quran untuk memimpin solat tarawih. Bacaannya sedikit panjang daripada imam-imam biasa. Orang-orang kampung yang solat di saf belakang mula buat perangai. Tunggu sampai imam ruku, baru nak angkat takbir. Terfikir juga Badrul kenapa ada golongan yang mengambil ringan ibadah puasa. Mentaliti mereka tiada langsung kepentingan ugama. Yang penting diri sendiri selesa dan nafsu dapat dipuaskan. Tidakkah puasa bertujuan mendidik hati dan nafsu?
********************
"Ton, abang nak pergi bazar Ramadan ni. Awak nak beli apa?" "Ala bang, lauk banyak ni..tak payah la..Esok la pulak.." "Sekali-sekali Ton, abang tengah ada duit sikit ni..lagipun beli kuih-kuih sikit je.."balas Pak Din. Walhal dalam kepalanya terbayang nak beli ayam golek, apam balik, murtabak dan roti john.
********************
Hisy, lambat betul azan. Orang dah lapar ni! Rungut Pak Din. Juadah berbuka bertimbun-timbun depan mata. Nak makan suami isteri je. Tak lama kemudian, azan bergema dan Pak Din berbuka dengan lajunya. Mak Ton pun tak kurang laju juga. Akhrinya perut masing-masing mula kenyang tapi kuih muih yang dibeli di bazar Ramadan langsung tak bersentuh. "Kita simpan untuk moreh je la bang kuih-kuih tu", kata Mak Ton dalam sendawa.
********************
"Ah, rokok dah habis pulak. Mana sedap lepas makan tak ada rokok" rungut Pak Din. "Ton, bawak mari kunci motor abang!" Bergeraklah Pak Din ke kedai runcit dengan motor buruknya. Sampai kedai keluarlah ayat biasa Pak Din: "Bang, Dunhill 20 batang" dan ayat tambahan: "Bagi saya kotak yang ada gambar kaki"
********************
Pak Din melangkah masuk pintu masjid. Tak sabar nak bersolat tarawih. Baru tadi dia menyudahkan solat Isyak di rumah. Penting solat terawih ni, nampak umat Islam bersatu..getus Pak Din. Kedengaran suara budak-budak berbual-bual dan ketawa di bahagian belakang masjid. "Hisy budak-budak ni, bukannya datang nak terawih..buat bising je ada lah..dah la malas nak sembahyang..", tiba-tiba rungutannya terhenti. Pak Din terasa sedang bercakap di hadapan cermin.
********************
Hisy..apalah imam ni.. baca la surah pendek-pendek sikit..orang lain banyak kerja ni.. bentak Pak Din apabila imam membaca surah panjang. Aku nak balik cepat ni, nak habiskan baca suratkhabar, lepas tu nak tengok wrestling lagi..baca lambat-lambat macam ni, bila nak habis?
********************
"Ton, esok kejut abang awal sikit..jangan jadi macam pagi tadi, sahur terkejar-kejar" kata Pak Din sambil melingkar di hadapan TV. "Baik bang..tapi kuih muih yang abang beli kat bazar tadi tu abang taknak ke?" "Em..abang dah kenyang la moreh kat masjid tadi..awak buang jelah kuih tu"
********************
Oh..penulis telah selesai berimaginasi. Semoga penulis diberi taufik dan hidayah supaya dapat membaiki dirinya sendiri dlm bulan mulia ini. Segala watak dan kejadian hanyalah rekaan semata-mata. Tiada kaitan dengan yang sedang hidup, yang sedang mati, mahupun yang telah mati. Entry ditulis untuk diri penulis sendiri. Kalau ada yang terkena batang hidung para pembaca, penulis mintak mahap awal-awal.hehehe
P/S: Disebabakan penulis tak sempat nak beraya di Malaysia tahun ni, awal-awal lagi penulis nak ucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin!!!


1 points out:
jusco pasaraya paling popular??
'shoppingist'...kenyataan berbaur pasaraya...
disebaba..
Post a Comment